PANDUAN MENULIS KARANGAN
Monday, 18. January 2010, 14:45:27
TINGKATKAN INGATAN DAN TUMPUAN DENGAN E-GENIUS
Bagaimana hendak berfikir secara kritis tentang sesuatu topik itu? Ini satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kebanyakan pelajar kerana mereka tidak suka berfikir lalu menganggap berfikir membuang masa sahaja. Namun berdasarkan pengalaman saya dalam bidang penulisan, konsep berfikir inilah yang mencetuskan sesuatu idea untuk menulis. Semakin bagus seseorang pelajar itu berupaya untuk berfikir maka semakin baguslah penulisannya kelak kerana ideanya akan jelas dan matang ketika menghuraikannya.
Buat pelajar kemahiran berfikir ini perlu dimiliki terlebih dahulu sebelum mampu menulis. Untuk menulis, pelajar harus mengenal pasti masalah itu dan melihatnya daripada dua kemungkinan yang wujud. Pertama kesan masalah itu dan cara-cara untuk mengatasinya. Konsep kesan dan cara mengatasinya merupakan dua skop peperiksaan yang sering ditanya. Jika pelajar faham dua konsep utama ini, pelajar seharusnya sudah boleh berfikir tentang aspek-aspek yang menjurus kepada kesan dan cara ini.
Biasanya untuk mendidik seseorang pelajar itu berfikir secara kritis, konsep pertanyaan harus dijadikan asas perbincangan. Pelajar harus sedar bahawa semua tajuk yang ditanya boleh dilihat daripada dua sudut secara umum yakni positif atau negatif. Baiklah ambil contoh karangan tentang internet. Sudah pasti ada dua kesimpulan umum yakni kebaikan dan keburukan internet. Selalu fokus kepada dua kemungkinan tentang sesuatu perkara itu. Kewujudan dua kemungkinan ini memaksa pelajar untuk berfikir secara mendalam dan serentak tentang sesuatu perkara tersebut.
Buat pelajar yang mampu berfikiran kritis, mereka akan cuba menghuraikan perkara-perkara yang mampu dibawa oleh internet kepada pelajar sebagai satu bentuk pengetahuan. Fikir secara mendalam semua perkara yang anda nampak dalam internet yang mampu memberi pendidikan kepada pelajar. Dan tulis serta huraikan dengan panjang lebar. Setelah siap menulis, huraikan lagi perkara yang sudah anda huraikan kali pertama tadi. Maksud saya sudah pasti ada penerangan atau contoh lain yang berkaitan dengan isi yang anda tulis.
Setiap kali melihat sesuatu tajuk, pelajar harus selalu melihat dalam dua aspek. Huraikan kedua-dua aspek itu secara mendalam. Baca akhbar dan nampak sahaja sesuatu topik, sila fikirkan dua kemungkinan yang menyebabkan perkara itu berlaku dan sebabnya secara langsung.
Sebenarnya masalah menulis merupakan satu masalah yang sering dialami oleh kebanyakan pelajar baik di sekolah mahupun di peringkat universiti. Masalah ini memang begitu ketara berdasarkan pengalaman saya dalam bidang pendidikan. Ada pelajar yang tidak tahu untuk memulakan sesuatu ayat pun dan kalau mereka mampu untuk menulis, masa yang panjang diperlukan oleh mereka untuk menyiapkannya. Pelbagai alasan akan diberikan jika mereka gagal untuk menyiapkan tugasan penulisan itu. Kenapakah masalah ini berlaku? Adakah menulis berasaskan bakat semata-mata?
Jawapan kepada pertanyaan ini begitu mudah iaitu pelajar tidak ada kemahiran menulis dan menganggap kemahiran menulis ini tidak penting berbanding dengan kemahiran mengira atau membaca yang amat diperlukan dalam subjek Matematik dan Sains. Sebenarnya tanpa pelajar semua sedari, aspek kehidupan kita banyak ditentukan oleh kemahiran untuk menulis dengan baik. Ya, memang kemahiran mengira dan membaca penting tetapi bayangkan seseorang pekerja yang ada semua data-data yang menarik tetapi tidak mampu untuk menulis dengan begitu meyakinkan untuk memudahkan majikannya membuat keputusan tentang sesuatu perkara itu. Bahan penulisan bukan sahaja untuk menerangkan tetapi mampu menjelaskan sesuatu dengan mudah kepada seseorang. Maka, bukankah kemahiran mengira dan membaca itu sesuatu yang membazir jika pada masa yang sama pelajar tidak tahu cara untuk menulis yang berkaitan dengan pengiraan dan pembacaan tersebut?
Lantaran itu, hujah yang mengaitkan kegagalan seseorang pelajar itu menulis dengan ketiadaan bakat juga bukanlah sesuatu yang kukuh. Sepanjang pengalaman saya sebagai pendidik, ada pelajar yang memiliki bakat menulis tetapi keputusan peperiksaannya terutama dalam aspek penulisan agak mengecewakan. Ada juga pelajar yang tiada bakat menulis tetapi berkat ketekunan dan kerajinan yang tinggi, pelajar terbabit berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya. Pada saya semua pelajar boleh menulis dan harus tahu menulis dalam hidup mereka dengan syarat mereka tahu teknik dan kesanggupan untuk mencuba menulis dengan tekun.
Kemahiran menulis ini boleh diperoleh jika pelajar tahu cara-cara yang mudah untuk menulis. Pengetahuan mengenai teknik menulis ini boleh menjadi asas kepada mereka untuk menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih baik menerusi tulisan. Sudah pasti mereka yang memiliki bakat menulis mempunyai kelebihan tetapi harus kita sedar bahawa bakat sahaja belum cukup untuk membawa kejayaan dalam aspek penulisan kerana ada pelbagai aspek lain yang turut mempengaruhi kejayaan pelajar dalam penulisannya. Antara aspek lain yang penting untuk memahirkan seseorang itu menulis ialah:
(1) kemahiran untuk memikir secara kritikal sesuatu topik itu.
(2) semangat yang tinggi untuk berlatih menulis
(3) kesanggupan untuk melakukan kesilapan ketika menulis
(4) membaca dengan meluas
Pelajar juga banyak gagal menulis kerana mereka tidak mempunyai keyakinan menulis. Setiap kali mereka ingin menulis sudah pasti setiap kali itu juga perasaan tidak yakin akan kemampuan mereka timbul lalu sikap negatif ini menjadi satu kelazaiman yang menghalang perkembangan pelajar untuk memahirkan diri mereka menulis dengan baik.
Sebenarnya, pelajar harus menanam keyakinan menulis dalam diri mereka terlebih dahulu. Setiap kali mereka berasa malas atau tidak suka menulis, pelajar harus meneriakkan kata-kata perangsang yang mendalam dalam jiwa mereka bahawa mereka akan menulis kerana yakin mereka mampu menyiapkan satu karangan dengan sebaiknya. Suara keyakinan inilah yang membentuk jiwa pelajar untuk meminati penulisan lalu akan menjadi mahir pada suatu masa nanti tanpa mereka sedari pula.
Satu hari cuma satu perenggan atau dua perenggan dan kemudian menambah menjadi tiga atau empat perenggan pada minggu seterusnya. Teknik menulis sebegini memberi pelajar keyakinan sedikit demi sedikit untuk memahirkan diri menulis. Pada masa yang sama pelajar akan menyedari kelemahan dan kelebihan mereka ketika menulis. Mungkin pelajar akan sedar mereka lebih mahir dalam aspek pendahuluan tetapi sedikit lemah dalam perengan. Kesedaran ini menyebabkan pelajar akan berusaha meningkatkan kemahiran dalam penulisan perenggan pula.
Kenapa pelajar perlu mahir menulis
Hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan pelajar menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Keadaan ini menyebabkan seseorang pelajar yang tidak memiliki kemahiran menulis yang baik sering menghadapi masalah untuk menjawab soalan bukan kerana diri mereka tidak bijak tetapi mereka tidak memiliki kemahiran untuk meluahkan kebijaksanaan mereka itu dalam bentuk tulisan.
Lantaran itu, pelajar yang mampu menjawab soalan dengan baik dalam peperiksaan ialah pelajar yang memiliki kemahiran menulis yang tinggi kerana selain mampu memberikan data-data yang tepat, pelajar sebegini juga berupaya menyusun jawapannya dalam bentuk yang begitu mudah, teratur dan meyakinkan pemeriksa bahawa pelajar terbabit sememangnya bijak dalam sesuatu subjek pelajaran tersebut.
Jadi, tanpa pelajar semua sedari mahu tidak mahu, minat atau tiada minat, penulisan merupakan satu latihan yang harus dibuat oleh pelajar setiap hari. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa latihan menulislah yang lebih penting daripada semua latihan yang ada dalam hidup pelajar terutama apabila pelajar bakal memasuki alam kerjaya. Semua laporan kerja terutama pembentangan projek, laporan kewangan dan rancangan pembangunan produk perlu dibentangkan juga dalam bentuk penulisan. Oleh itu, mahirkan diri pelajar dengan menulis dan menulis.
Dipetik daripada blog panduan Menulis karangan
http://karanganbagus.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan