Cari Blog Ini

Isnin, 8 November 2010

Membaca

Pemahaman:Berita

SEREMBAN, 22 April - Pelbagai cara digunakan oleh pihak sekolah untuk menarik minat muridnya memanfaatkan pusat sumber sekolah dan menanam minat membaca.
Salah satu cara yang dilakukan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Min, Seremban ialah dengan mengadakan pameran di pusat sumbernya.
Pameran yang bertemakan Warisan Budaya Pencetus Perpaduan itu diilhamkan sendiri oleh penyelaras pusat sumbernya, Puan Kamariah Borhan.
Menurut Puan Kamariah, sepanjang pameran sempena Minggu Pusat Sumber itu, pihaknya mempamerkan pelbagai jenis warisan kebudayaan daripada kaum Melayu, Cina dan India.
"Matlamat kami adalah untuk menarik minat murid membaca di pusat sumber. Dengan cara ini, para murid akan berkunjung ke pusat sumber ini untuk membaca sambil melihat warisan kebudayaan pelbagai kaum," katanya kepada Utusan Pendidikan di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Antara warisan kebudayaan yang dipamerkan ialah peralatan perkahwinan, alat-alat muzik, makanan dan pakaian tradisional pelbagai kaum. Kesemua barangan yang dipamerkan itu diperoleh daripada koleksi guru-guru, para pelajar dan juga dipinjam daripada orang perseorangan.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Min berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh para guru yang berinisiatif mengadakan aktiviti yang berfaedah ini. Beliau berkata, pihaknya berharap melalui aktiviti seperti itu dapat menarik dan memupuk minat membaca di kalangan murid dan guru sekolah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan