Cari Blog Ini

Isnin, 8 November 2010

Membaca

Pemahaman : Cereka

Pada zaman dahulu, di sebuah kampung terpencil yang bernama Kampung Wak Raja, tinggallah sepasang suami isteri bersama-sama dengan seorang anak lelaki mereka yang bernama Alif. Alif merupakan seorang yang sangat baik, rajin dan taat kepada ibu bapanya. Kedua-dua orang tua itu sangat sayang akan Alif.

Pada suatu hari, ayah Alif yang menghidap penyakit ganjil telah meninggal dunia . Akibat kemiskinan yang dihadapi, akhirnya Pak Usup telah meninggal dunia kerana tidak dirawat oleh tabib. Tinggallah Alif dengan ibunya. Hidup mereka semakin tertekan kerana mereka sangat miskin.

Apabila peperangan yang meletus agak berpanjangan di negerinya , Alif dan ibunya terpaksa mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri dengan keadaan sehelai sepinggang . Mereka tidak mempunyai wang. Alif menggunakan keringatnya dan telah masuk ke hutan untuk mencari buah-buahan sebagai makanan mereka.

Apabila tiba di hutan, Alif terjumpa sebatang pokok yang lebat buahnya. Alif memanjat pokok itu dan memetik buahnya.

Setelah banyak buah dipetik, Alif mengasingkan buah-buahan itu. Buah yang masak dimasukkan ke dalam bakul pertama. Buah itu untuk ibunya. Buah yang muda untuk dirinya dimasukkan ke dalam bakul kedua.

Dalam perjalanan pulang, Alif bertemu dengan beberapa orang perompak. Perompak-perompak itu menangkapnya.

"Hai, budak, apa engkau buat di sini?" soal ketua perompak.

"Saya mencari buah-buahan," kata Alif.

"Mencari buah-buahan? Mengapa?" tanya ketua perompak.

"Saya orang miskin, saya tidak ada duit untuk membeli makanan. Buah-buahan inilah yang menjadi makanan saya dan ibu," jawab Alif.

Ketua perompak nampak dua buah bakul yang dibawa oleh Alif. Sebuah berisi buah yang masak dan sebuah lagi berisi buah yang muda.

"Mengapa kamu letakkan buah yang masak ke dalam sebuah bakul yang lain," tanya ketua perompak itu.

"Buah-buah yang masak untuk ibu dan buah-buah yang muda untuk saya sendiri," jawab Alif.

Sekarang, ketua perompak faham punca buah-buahan itu diasingkan. Semua perompak itu kasihan melihat Alif. Mereka tahu bahawa Alif seorang budak yang baik, taat serta kasih kepada ibunya.

"Wahai budak, engkaulah anak yang rajin dan taat kepada ibu. Nah, ambil wang ini, belilah makanan untuk kamu dan ibu," kata ketua perompak.

"Terima kasih tetapi saya tidak boleh menerima wang ini," kata Alif.

"Mengapa?" tanya ketua perompak.

Sikap Alif menjadikan ketua perompak insaf. Dia menyuruh pengikutnya memulangkan harta yang dicuri mereka. Alif pun pulang ke rumahnya.

Berdasarkan petikan tadi, di bawah ini disenaraikan watak serta sikap atau maklumat penting yang berkaitan.

Watak

Sikap/Maklumat

Alif

seorang anak yang baik , rajin dan taat kepada ibu bapanya.

Pak Usup

meninggal dunia akibat penyakit ganjil.

Ibu Alif

terpaksa menyelamatkan diri bersama-sama dengan anaknya akibat peperangan yang berpanjangan.

Ketua Perompak

insaf dan menyuruh pengikutnya memulangkan harta yang dicuri oleh mereka.

Kampung Wak Raja

sebuah kampung yang terpencil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan