Cari Blog Ini

Jumaat, 27 Ogos 2010

Membaca Rangsang Kecemerlangan

Oleh Syuhada Choo Abdullah bersama Timbalan Pengarah (Pembangunan Teknologi Pendidikan) Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran, Dr Faridah Mohamed

Statistik akhir menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit Program Nilam

ANTARA matlamat utama Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sehingga 13 April ini, ialah menggalakkan orang ramai membeli dan membaca buku. Apakah usaha Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan minat ini di kalangan pelajar.

Salah satu program utama galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pelajaran ialah Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1999. Pelaksanaan Program Nilam ini dimulakan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah di mana rekod pembacaan pelajar diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.

Program ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Tahap Jauhari ialah tahap di mana kita menggalakkan pelajar membaca sebanyak mungkin buku diminati dan kemudian dicatat dalam Buku Rekod Nilam.

Pada tahap kedua, iaitu Tahap Rakan Pembaca, pelajar yang banyak membaca digalakkan mengajak atau menggalakkan rakan mereka pula untuk membaca bersama dan berdiskusi mengenai sesebuah buku. Secara tidak langsung, lebih ramai pelajar akan terbabit dalam program ini.

Bagaimana dengan pencapaian program ini selepas hampir 10 tahun pelaksanaannya.

Berdasarkan statistik data dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati pembabitan pelajar semakin meningkat. Statistik akhir tahun lalu menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit dalam program ini.

Namun, usaha kita tidak akan berhenti setakat ini saja bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Kita bertekad untuk mencapai sasaran pembabitan 100 peratus pelajar dalam Program Nilam dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di luar lingkungan persekolahan.

Apakah strategi dilakukan kementerian, khususnya BTP, untuk mencapai 100 peratus pembabitan pelajar dalam Program Nilam.

Walaupun cita-cita untuk mencapai pembabitan 100 peratus pelajar masih belum tercapai, usaha giat turut dijalankan rakan kita dalam rangkaian BTP di BTP Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian serta Pusat Kegiatan Guru.

Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka program galakan membaca. Sebagai contoh, kita melaksanakan beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program Nilam. Antaranya, aktiviti Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku serta pameran buku yang mendapat sokongan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Selain itu, Jemaah Nazir juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program Nilam ketika membuat pemantauan ke sekolah. Secara tidak langsung, ini menunjukkan penegasan Kementerian Pelajaran mengenai peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir sekolah perlu memberi kerjasama serta perhatian dalam merangka, mengurus, melaksana dan juga memantau program galakan membaca yang dirancang Guru Perpustakaan & Media.

Trend membaca pelajar kini didapati berubah seiring dengan perubahan teknologi. Adakah Program Nilam turut berubah mengikut trend semasa.

Ada dua perkara perlu dimaklumkan apabila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan pelajar. Pertama, jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, didapati pelajar lebih suka membaca buku berkisar mengenai suatu yang hampir dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka.

Selain daripada buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, pelajar lebih terarah untuk membaca buku berkaitan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, serta grafik menarik dengan teks mudah difahami.

Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku perlu mengambil kira faktor ini dalam usaha membina koleksi di pusat sumber sekolah. Setiap tahun, kementerian akan mengedarkan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah. Senarai ini adalah senarai bahan bacaan dikemukakan penerbit serta pembekal buku dan sudah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan bacaan berkualiti boleh dibekalkan ke sekolah.

Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan pelajar ialah bentuk buku dibaca. Saya sangat setuju bahawa trend dan minat pelajar sekarang lebih terarah kepada suatu yang bersifat teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kita melihat ini sebagai suatu yang positif dan Program Nilam juga sememangnya sentiasa ditambah baik seiring kemajuan teknologi sedia ada.

Bagi pelaksanaan Program Nilam, kita meminta pelajar membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod Nilam. Buku dimaksudkan ialah buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari pusat sumber sekolah, perpustakaan awam atau dibeli sendiri. Bagaimanapun seiring kepesatan teknologi, Program Nilam turut menggalakkan mereka membaca buku dalam bentuk digital yang boleh diperoleh dari pusat sumber digital, e-book dan juga cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD).

Malah, mereka juga boleh memuat turun bahan bacaan dari internet untuk dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Kini sudah ada teknologi yang boleh `membacakan’ buku digital untuk kita dan boleh disimpan dalam pemain muzik MP3 serta iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita pada zaman ini, tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca.

Apakah bentuk pengiktirafan diberikan kepada pelajar terbabit dalam Program Nilam sebagai galakan

Pada peringkat sekolah, galakan berbentuk hadiah serta sijil adalah sebahagian pengiktirafan dan ganjarannya. Di kebanyakan sekolah, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam diberi ganjaran serta pengiktirafan mengikut kemampuan pihak sekolah, dan kebiasaannya diadakan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang.

Kategori pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku dibaca pelajar. Bagi peringkat sekolah rendah, bacaan antara 90 hingga 179 buku, kategori pengiktirafannya ialah gangsa, diikuti 180-269 (perak), 270-359 (emas) dan 360 ke atas (Nilam). Manakala bagi peringkat sekolah menengah pula, 72-143 buku (gangsa), 144-215 (perak), 216-287 (emas) dan 288 ke atas (Nilam).

Seterusnya, setiap negeri mempunyai satu program Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri di mana BTP Negeri menjadi urus setia dengan kerjasama JPN masing-masing. Pada peringkat ini, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam akan dinilai bukan saja dari segi bilangan buku dibaca tetapi juga kemahiran mereka menjawab soalan penilaian yang dijalankan oleh hakim dilantik. Pemenang peringkat negeri akan dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan.

Bagaimana pemilihan Tokoh Nilam Kebangsaan dilakukan.

Calon dalam lima kategori, iaitu Sekolah Rendah Pedalaman, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan juga Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk pemilihan pemenang mengikut kategori masing-masing, dan seterusnya meraih anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Rendah serta Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Menengah.

Kategori Sekolah Rendah Pedalaman ialah kategori baru diperkenalkan tahun ini bagi memenuhi aspirasi strategi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk merapatkan jurang pendidikan, di samping membuka peluang sama rata kepada pelajar dari kawasan terbabit yang mungkin agak ketinggalan dari segi kemudahan prasarana dan capaian terhadap bahan bacaan.

Dua jenis penilaian, iaitu lisan dan bertulis, dijalankan hakim yang terdiri daripada pensyarah universiti tempatan, institut perguruan serta pegawai dari Perpustakaan Negara Malaysia. Antara elemen dinilai ialah kemahiran membaca, mencari maklumat, membuat analisis, membuat rumusan, kebolehan berhujah, kefasihan bertutur dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Selain lima kategori berkenaan, empat kategori baru khusus untuk pelajar pendidikan khas turut diperkenalkan tahun ini, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SRPK) Pendengaran, SRPK Penglihatan, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Pendengaran dan SMPK Penglihatan.

Bukan itu saja, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Anugerah Nilam yang lalu, kita bersetuju untuk menambah jumlah hadiah wang tunai kepada setiap pemenang tahun ini. Tokoh Nilam Kebangsaan kali ini menerima hadiah wang tunai RM1,500 berbanding RM600 sebelumnya. Bagi setiap kategori pula, pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM1,000 berbanding RM500 tahun lalu, tempat kedua RM800 berbanding RM300, dan tempat ketiga RM500 berbanding RM200.

Tahun ini, Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan sudah pun berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Khamis lalu, dengan dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai tetamu kehormat. Seperti lazim, program ini diadakan dalam tempoh terdekat dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apakah harapan daripada pelaksanaan Program Anugerah Nilam Kebangsaan 2008.

Saya berharap dapat melahirkan Tokoh Nilam yang benar-benar berketrampilan untuk dijadikan `role model’ kepada pelajar lain. Kita ingin menunjukkan kepada semua pelajar bahawa adanya saling kait yang amat rapat antara budaya membaca dengan kecemerlangan pendidikan.

Mungkin boleh saya imbas kembali pada 2004 di mana Tokoh Nilam Kebangsaan tahun itu, Nur Amalina Che Bakri, adalah pelajar terbaik keseluruhan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dengan mencapai 17 1A. Tahun lalu, sekali lagi kita berjaya melahirkan Tokoh Nilam Kebangsaan yang juga muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM 2007, iaitu Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Semoga dengan contoh ditunjukkan itu akan membuka mata semua pihak, termasuk pelajar, pendidik dan ibu bapa, mengenai peri pentingnya membina tabiat membaca dalam diri kita serta menjadikannya satu budaya hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan